Tuesday 21 January 2014

Putus

Ada dua putus yang besar dalam hidup. Satunya menjadi pengajar, satunya masih kurang ajar. Satunya pembimbing, satunya pengumbang ambing. Amat mudah memutuskan satu hal. Sejenis putus itu memisah, sejenis lagi menyambung. Memutuskan hubung itu membina jarak benci antara jiwa, memutus buah akal yang ranum - membina jarak untuk ditempuhi.

Demi masa yang tidak pernah hinggap. Tidak pernah ada satu usaha untuk menikmati. Mungkin sifatnya yang tidak pernah bertegur sapa, mungkin sifatnya manusia sentiasa alpa, mungkin hakikatnya manusia hanya sedar bila ia sudah tiada. Sementara menanti subuh aku bermimpi, berbalas bicara dengan seorang akhi. Tak sedar dia dah lama pergi.

Keringat hari ini mungkin tidak berbayar. Khilaf hari ini mungkin laba hari esok. Untuk apa berasa ragu? Untuk apa berasa gusar? kau takut mereka akan berkasar? Kau takut cadang mu dilempar? Bukankah takut mu itu menjerumus? dari lembah yang dalam ke lembah yang lebih dalam? Langkahkan kakimu laju. Biar jatuh, biar luka berbabak bunyak, biar bersalut lumpur. Selagi kau berjalan, selagi tujuanmu menjadi hampir. Bukankah rahmat Allah maha luas? bukan satu, bukan seribu, bukan sahaja kapitalis ringgit dan dollar, bahkan mereka, dan sekelian manusia, rezeki datang dari NYA. kau masih takut?.. sahabat?

Bangunlah akhi. Jangan hanya meratap nasibmu di dinding - dinding, di lantai - lantai, di bumbung - bumbung. Kala kau meratap, masa pun berlalu. Namun masa yang sudah berlalu itu, dengan izinNya akan diganti dengan yang baharu. Yang putih, bersih dan wangi. Jika kau mahu kotorkan dengan air mata, itu pilihanmu. Jika kau mahu melakar warna jingga kesayuan, juga ia akan berlalu, sedang kau masih juga di situ. sedang kau masih juga insan.. yang tiada guna.

Mari akhi, saat ini kita tukar warnamu. Mari lakar masamu dengan hijau dan putih kejayaan. Biarkan lah cercaan mereka. Kau hidup bukan untuk mereka. Mereka juga hidup bukan untukmu. Kau tahu bagaimana hebatnya kuasa cinta, dikala kau diputuskan, kan, akhi? Sekarang maukah kau hidupkannya kembali? maukah kau memutuskan cintamu dengannya, si PUTUS ASA?  dia yang telah merobek hasil dari segala usaha yang kau mulakan? Mari akhi. Muazzin sudah memanggil.. marilah akhi.. kita menuju kejayaan.. dan redha Illahi.. Mari..

sekian dulu bidadiari,

jumpa lagi

Sunday 19 January 2014

2014, selamat datang...

Assalamualaikum bidadiari ku.. sudah lebih separuh umur Rasulullah aku berdagang di bumi pinjaman Allah ini. Separuh darinya begitu damai dan teratur. Separuh keduanya unpama badai ketika kejohanan luncur ombak Red Bull. Tak perlu berbasa basi.. Kau ialah aku dan aku ialah engkau. Dinding ini sekadar jadi medan pertempuran kata - katamu yang kadang - kadang membinasa.. jarang - jarang membina. Kadang kadang pedang, kadang - kadang tukul, jarang - jarang mengurut.

Hmm.. kata - kata puitis mudah sahaja merontok jiwa jadi gusar. Serius tidak karuan. angin yang tadinya biru muda, sudah berobah menjadi jingga. mungkin kerana nada kata.. atau mungkin juga kerana usia yang semakin tua. Kesilapan lalu sudah menjadi ajaran. kebodohan menjadi kematangan, seperti semalamnya buah pelam yang masih muda, masam dan bergetah - berobah menjadi matang, harum dan manis sekali. Buah yang sama, tapi tak serupa.. tawanya juga sudah berobah.

Hari ini aku berada separuh Megameter dari kediamanku. meninggalkan bonda dan keluarga, rakan dan taulan untuk sepurnama. membuat kerja kurang waras. sepatutnya aku berada pada jarak yang hampir sama tapi di arah yang berbeda. Menimba ilmu untuk hari tua.. tapi.. bukankah aku sudah tua? bukankah ini masa untuk menimba bekal untuk hari mati yang entah kapan akan tiba. mungkin sebentar lagi dia akan mempir.. siapa tahu?

Mahu jadi Wali Allah? hati begitu nakal, wali nikah saja hampir gagal. Yang wajib itu pun tidak fasih. di dunia masih tidak malu menagih - nagih.

Jadi kini ku disini. bersama dua butir permata hati. Mencari redha dari Illahi. Semoga usaha diberkati. Semoga jalan diberi. Agar segala keperluan dipenuhi. Agar ku bisa memahami. Akan peranan ku di bumi.

Bidadiari,

jumpa lagi..